KOTA BHARU – Misteri pokok pisang bergoyang-goyang akhirnya terjawab oleh seorang anggota polis, Koperal Salmizi Che Mat yang juga penduduk Kampung Lundang Paku, Jalan Dewan Beta.
Menurut beliau, Jumaat lalu ketika dia sedang berehat di hadapan
rumahnya hujan lebat dan, beliau terlihat pokok pisang di dalam kebun sebelah rumahnya
bergoyang-goyang.
Pada mulanya dia menyangka ada orang sedang 'beromen' di
situ.
Apabila disiasat, rupa-rupanya ada seorang lelaki sedang memotong
setandan pisang menggunakan pisau dan kemudian memasukkannya ke dalam
sebuah guni.
“Saya kemudian menelefon beberapa penduduk kampung untuk datang
sama-sama menangkap lelaki itu. Sambil memerhatikan gerak-gerinya, saya
kemudian menahan motosikal dinaiki.
“Semasa menghampirinya berlaku sedikit pergelutan dan lelaki itu
mempunyai pisau. Apabila diperiksa guni yang dibawanya berisi setandan
pisang dan dia mengaku mencuri pisang berkenaan,” katanya.
Menurutnya, suspek kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk
tindakan selanjutnya dan laporan dibuat di balai polis Nilam Puri, di
sini.
“Kejadian curi buah di kawasan kampung ini agak membimbangkan, malah
kes pecah rumah juga kerap berlaku dan turut membabitkan rumah saya
sendiri, bulan lalu. Bulan lepas rumah jiran yang tidak jauh dari
kawasan rumah saya, juga dipecah masuk dan membabitkan kerugian ribuan
ringgit.
“Sehubungan itu, orang kampung secara beramai-ramai bekerjasama
berkawal dan sentiasa berjaga-jaga keamanan kampung ini. Saya juga
berharap agar pihak berkuasa memandang berat masalah jenayah di kampung
kami,” katanya.
sumber: sinarharian